LONDON – Pengkritik bola sepak England, Ally McCoist menggesa Liverpool untuk cuba mendapatkan khidmat penggempur Bayern Munich, Harry Kane pada musim panas biarpun ia dianggap sebagai misi mustahil.
Menurutnya, tidak salah untuk juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu melakukan percubaan tersebut kerana jika bernasib baik mereka mampu untuk mengikat penyerang yang cukup prolifik dan mampu membantu mereka mempertahankan kejuaraan musim depan.
Musim ini menyaksikan Liverpool meraih kejuaraan tanpa khidmat penyerang tulen apabila Mohamed Salah, Cody Gakpo dan Luis Diaz melakukan tugas menjaringkan gol biarpun kesemua mereka bukanlah dianggap pemain yang beraksi di posisi penyerang utama.
“Saya mahu anda (Liverpool) mencuba untuk dapatkan Harry Kane. Pergi dan kemukakan tawaran kepada Bayern. Saya tidak dapat bayangkan berapa banyak gol dia mampu hasilkan jika bersama Liverpool,” katanya.
Biarpun sedar Kane ketika ini sangat gembira kekal di Allianz Arena selepas menjulang trofi pertama dalam kariernya, namun McCoist percaya bahawa kembali ke EPL masih menjadi impian Kane.
“Saya akui dia sedang menikmati detik terbaik dalam kariernya, tetapi apa yang lebih membuatkan dia gembira? Saya pasti impiannya adalah untuk mengatasi rekod Alan Shearer sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah EPL.
“Mungkin ramai yang berkata perkara itu tidak akan berlaku, tetapi dalam bola sepak jangan sesekali kata tidak. Pasaran perpindahan dalam bola sepak sangat gila dan sukar dijangka,” jelasnya. – AGENSI