fbpx

‘CEO Batu’ direman, hantar ‘mesej’ kepada budak bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar teks berunsur lucah yang dihantar kepada remaja tersebut.

GOMBAK – Polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘CEO Batu’ bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej dan gambar berunsur seksual kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pempengaruh berusia 22 tahun itu diberkas selepas ibu mangsa membuat laporan kepada pihaknya semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek menghantar beberapa imej tidak senonoh dan mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal bulan ini menerusi aplikasi media sosial,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut beliau, pemuda itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Polis memandang serius kesalahan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak dan segera melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Aldrin Anak Pegie di talian 012-254 9543 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak menerusi 03-6126 2222.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan penyanyi dan aktivis, Caprice mendedahkan beberapa kiriman mesej di media sosial yang didakwa berbaur lucah dihantar oleh seorang pempengaruh kepada remaja perempuan bawah umur.

Menerusi beberapa hantaran di akaun Instagramnya, Caprice dihubungi ibu remaja terbabit yang meminta bantuan selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.

Antara tangkap layar yang dikongsikan adalah kiriman mesej berserta gambar tidak senonoh dipercayai dengan niat untuk menunjukkan parut kesan pembedahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI