KUALA LUMPUR – Orang ramai yang mengunjungi Reruai Jualan dan Pameran sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 berpeluang melakukan aktiviti menyumpit secara percuma.
Penolong Pegawai Perpustakaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kodri Ramli berkata, peralatan sumpit itu disediakan di Reruai Jualan dan Pameran Jakoa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Sumpit ini adalah sumpit Orang Asli berserta damak yang sebenar. Pengunjung mahu cuba sumpit berapa kali pun boleh.
“Aspek keselamatan kita jaga sebab itu kita buat jarak sumpitan pendek sahaja. Tidak perlu bayar apa-apa kerana ia percuma,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di sini hari ini.
Kodri berkata, Reruai Jualan dan Pameran Jakoa sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan dibuka sehingga 27 Mei ini.
Katanya, beliau difahamkan para delegasi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 akan turut dibawa mengunjungi Reruai Jualan dan Pameran Jakoa bagi melakukan aktiviti sumpitan.
Selain itu, katanya, orang ramai juga berpeluang melihat dan mempelajari aktiviti anyaman Orang Asli di Reruai Jualan dan Pameran Jakoa.
Menurut beliau, antara anyaman adalah tikar dan cenderamata pelbagai bentuk serta corak menggunakan mengkuang dan daun kelapa.
“Seramai enam wanita Orang Asli akan berada di Reruai Jualan dan Pameran Jakoa bagi mengajar mereka yang berminat,” katanya. – KOSMO! ONLINE