fbpx

ASEAN: Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana sekitar Persidangan ASEAN-GCC 2025, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 membuka tirai hari ini dengan penganjuran beberapa siri mesyuarat penting sebagai sebahagiaan daripada persediaan awal persidangan sebelum sesi kemuncak yang akan berlangsung bermula Isnin.

Dalam konteks ini, antara mesyuarat penting yang berlangsung hari ini termasuklah Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN (Prep-SOM) yang berperanan menyelaras beberapa agenda sebelum Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan, Mesyuarat Menteri dan Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung.

Selain itu, turut berlangsung ialah Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) yang memainkan peranan penting dalam menyelaras dasar dan keutamaan bersama negara-negara anggota.

Ia turut disusuli dengan siri mesyuarat penting lain termasuk Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China.

Pada sebelah malam pula, pegawai kanan ASEAN dijadual menghadiri majlis makan malam rasmi di Bukit Damansara yang dihoskan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Bermula hari ini, Malaysia menerima ketibaan pemimpin-pemimpin dari negara ASEAN bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 termasuk beberapa perbincangan dan mesyuarat dan pemeteraian perjanjian perdagangan berkaitan.

Selain pemimpin negara ASEAN, ketibaan hari ini turut melibatkan pemimpin negara Timor-Leste selain ketua-ketua dari GCC dan China.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ia selepas mengambil Kepengerusian ASEAN yang kali terakhir berlangsung di sini 10 tahun lalu pada 2015. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI