PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya komital yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh kerana menghina mahkamah berhubung Titah Adendum diketepikan.
Dalam kenyataan dikeluarkan AGC hari ini, isu yang dibangkitkan dalam permohonan itu kini adalah subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan, ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai ini berkaitan Permohonan Semakan Kehakiman.
“Isu-isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan itu. Mahkamah Tinggi pada 28 April lalu membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding sehingga keputusan rayuan itu diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pada 22 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan itu meliputi semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes ini termasuk prosiding penghinaan mahkamah.
Justeru sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan semasa perintah penangguhan masih berkuat kuasa adalah satu tindakan yang secara langsung melanggar perintah mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur.
“Sebagai mantan Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh menjalankan tugas-tugas beliau selaras dengan fungsi perlembagaan jawatan itu. Dakwaan bahawa beliau (Ahmad Terrirudin) mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas sama sekali dan kini sedang diteliti oleh badan kehakiman tertinggi negara,” katanya.
Ujar kenyataan itu, tindakan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah sementara rayuan ini masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang dan prejudis.
“AGC menyeru semua pihak supaya membenarkan Mahkamah Persekutuan meneliti dan memutuskan isu perundangan dan fakta yang dikemukakan tanpa tekanan, spekulasi atau tindakan luar yang boleh mengganggu perjalanan keadilan. Keadilan mesti ditegakkan mengikut kerangka kedaulatan undang-undang, bukan melalui kenyataan awam atau litigasi selingan,” ujarnya.
Terdahulu, Najib memfailkan permohononan memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin kerana menghina mahkamah berhubung titah adendum.
Permohonan itu difailkan Najib terhadap Ahmad Terrirudin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan menerusi Tetuan Shafee & Co. Pada Rabu lalu.
Dalam kenyataannya hari ini, firma guaman itu berkata, sejak Januari dan Februari lalu, pihaknya memaklumkan telah mendapat arahan Najib untuk memfailkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin. – KOSMO! ONLINE