fbpx

20,000 berkampung di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Malaysia akan menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk membincangkan pelbagai isu dan perkara berkaitan perdagangan semasa termasuk perang tarif. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bermula hari ini, Malaysia menerima ketibaan pemimpin-pemimpin dari negara ASEAN bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 termasuk beberapa perbincangan dan me­syuarat dan pemeteraian perjanjian perdagangan berkaitan.

Selain pemimpin negara ­ASEAN, ketibaan hari ini turut melibatkan pemimpin negara Timor-Leste selain ketua-ketua dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), selepas mengambil Kepengerusian ASEAN yang kali terakhir berlangsung di sini, 10 tahun lalu pada 2015.

Bagi memastikan kelancaran pergerakan para pemimpin tersebut, kerajaan mengambil langkah khususnya keselamatan mereka di tahap tertinggi sepanjang berada di negara ini terma­suk penutupan enam lebuh raya serta 25 jalan utama di sekitar ibu kota dan Se­langor.

Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, kepentingan sidang kemuncak ini boleh dilihat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ­ASEAN mahu membawa ASEAN ke arah ‘centrality’.

Menurutnya, ia terserlah de­ngan melibatkan diri dalam hal dunia antarabangsa lebih-lebih lagi jangkaan keha­diran Perdana Menteri China, Li Qiang selain Menteri Luar Russia, Sergey Viktorovich Lavrov dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.

“Bagi saya amat pen­ting, katalah Robio berjumpa Menteri Luar Russia, ini memberi satu impak positif (apabila) mereka dapat berbincang, ataupun Robio jumpa Perdana Menteri China umpa­manya dalam ke­adaan perang tarif.

“Sebagai Pengerusi pada sidang kemuncak ini kita mampu memainkan pe­ranan pen­ting kerana boleh membawa agenda ASEAN, agenda Malaysia terutama sekali dalam menghadapi suasana perang tarif ini.

“Sebab selepas ini, akan diadakan Sidang Kemuncak ­ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ­ASEAN-GCC-China. Kemungkinan besar bersama Jepun umpamanya, jadi ini adalah untuk membuka satu pasaran baharu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, sidang kemuncak itu juga penting kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana bukan sahaja untuk pasaran di China, bahkan Negara -Negara Teluk yang dianggap sebagai pasaran lumayan.

“Jadi kita boleh gunakan sepenuhnya peluang ini sebagai pengerusi dan berlangsungnya sidang kemuncak ini, bukan kita bincang antara 10 negara sahaja, tetapi kita jemput negara-negara kuasa besar, rakan-rakan ­ASEAN untuk sama-sama berbincang.

“Betapa pentingnya kemuncak ini lebih-lebih lagi kita sebagai pengerusi dan kita boleh mencuri peluang ini, (dalam isu) menyelesaikan masalah perang Ukraine, bukan satu yang jauh untuk kita selesaikan atau memberi satu kesimpulan terhadap apa yang berlaku di Gaza,” jelasnya.

Pakar ini menerangkan, perkara-perkara tersebut adalah di bawah tanggungjawab Pengerusi ASEAN, malah paling penting menerusi me­syuarat CCCC ia akan melibatkan antara kuasa-kuasa besar dunia.

Sementara itu, Azmi turut menyentuh penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ini dari segi kepedulian rakyat Malaysia selain memberi kefahaman kepada mereka berhubung langkah ke­selamatan yang perlu diambil oleh kerajaan.

“Saya teringat 10 tahun lepas, , kita menjadi tuan rumah. Tak ba­nyak warga kota ambil tahu sangat dan kalau mereka nampak banner dan gegantung, rakyat dilihat kurang mempedulikan perkara berkaitan sidang kemuncak ini.

“Jika baru-baru ini ketika lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, banyak jalan telah ditutup dan kali ini, banyak lagi jalan dan lebuh raya terpaksa ditutup kerana ramai pe­mimpin negara lain berada di Malaysia, bukan 10 negara ASEAN sahaja, tetapi rakan-rakan ASEAN.

“Perjumpaan dan mesyuarat-mesyuarat yang akan diadakan bersama Amerika Syarikat, China dan Russia iaitu tiga negara pen­ting selain Kesatuan Eropah juga akan dilakukan di sini.

Tambah beliau, kesesakan yang dialami oleh para pemimpin tersebut akan memberi pandangan tidak baik kepada Malaysia.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok tersebut bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip ke­terangkuman dan kemampanan.

Dianggarkan 20,000 orang termasuk delegasi, perwakilan, peserta, urus setia dan petugas akan berkumpul di KLCC.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Ja­nuari 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ia merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI