KUALA TERENGGANU – Sebanyak 15 bengkel membaiki kenderaan yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen dan tidak mematuhi piawaian alam sekitar ditetapkan, diserbu polis di Dungun dan Kemaman semalam.
Serbuan bersepadu tersebut turut berjaya menahan 13 pekerja premis terbabit termasuk dalam kalangan warga asing yang juga disyaki melakukan kesalahan imigresen.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, operasi tersebut dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kesihatan dan Telekom Malaysia Terengganu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua bengkel membaiki kenderaan terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995, Akta Peniaga Sekendhend 1946, dan Akta Imigresen 1959.
“Seramai 13 pekerja premis perniagaan tersebut termasuk tiga warga Myanmar dan dua Bangladesh telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Tiga notis saman atas kesalahan tiada lesen perniagaan juga telah dikeluarkan,” katanya di sini, hari ini.
Mohd. Khairi berkata, pasukan penguat kuasa turut merampas keratan kabel, buku daftar jual beli, alat penimbang, besi buruk, gegelung dawai tembaga, pengisar, dan enjin motosikal bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, sampel minyak terpakai digunakan di premis terbabit juga diambil pegawai penguat kuasa JAS akan dianalisis di makmal mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE