LANGKAWI – Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Kolonel Mohd. Norazan Othman yang cukup sinonim dengan persembahan solo pesawat Sukhoi Su-30 MKM bangga dapat menerbangkan pesawat tersebut bersama Panglima Tentera Udara (PTU), Tan Sri Mohd. Ashgar Khan Goriman Khan.
Mohd. Norazan dengan ‘call sign’ (tanda panggilan) Sting itu menerbangkan pesawat Sukhoi Su-30 MKM Toruk Makto dengan rekaan corak Jalur Gemilang pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Katanya, beliau dan PTU membuat latihan selama tiga bulan sebelum melakukan aksi aerobatik pada LIMA kali ini.
“Saya rasa berdebar-debar kerana perlu melatih bekas jurulatih yang juga tok guru saya sendiri semasa kami bersama-sama dalam Skuadron MIG-29N. Saya juga perlu pastikan semua manuver adalah yang terbaik di samping memastikan keselamatan beliau semasa penerbangan,” katanya ketika ditemui di MIEC, di sini hari ini.
Menurutnya, PTU juga seorang bekas pegawai memerintah bagi Skuadron Sukhoi yang membolehkan beliau untuk menerbangkan pesawat itu sendiri.
Sementara itu, katanya, pada kebiasaannya komander pangkalan udara tidak akan melakukan aksi aerobatik tetapi terdapat permintaan khas daripada PTU yang membawa beliau kembali ke LIMA’25.
“Aksi aerobatik yang dilakukan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan pesawat Sukhoi sudah dikenali dunia, jadi penampilan corak cat baharu tersebut menjadikannya sebagai ikon patriotik baharu negara ini.
Selain itu, jelasnya, aksi ‘Toruk Action’ yang dibawakan khas pada LIMA’25 kali ini juga adalah hasil buah fikirannya yang diinspirasikan dalam filem Top Gun: Maverick.
“Saya mencuba sendiri aksi tersebut dengan menerbangkan pesawat Sukhoi Su-30MKM bagi melihat sama ada pesawat tersebut boleh melaksanakan aksi tersebut.
“Toruk Action menggabungkan aksi melintang dan menegak yang mengambil masa hanya 15 saat tetapi merupakan antara aksi yang agak sukar untuk dilakukan sepanjang saya melakukan aksi aerobatik,” ujarnya.
Juruterbang yang berpengalaman selama lebih 28 tahun itu juga berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di National War College di Amerika Syarikat selama setahun yang merupakan kursus terakhir yang boleh diambil oleh pegawai TUDM. – KOSMO! ONLINE