PETALING JAYA – Polis Selangor akan melaksanakan kawalan laluan khas melibatkan beberapa lebuh raya utama sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan delegasi sepanjang acara berlangsung.
Katanya, kawalan itu melibatkan pergerakan delegasi melalui dua laluan utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
“Bagi pergerakan melalui KLIA, kawalan akan bermula pada 25 Mei (12 tengah hari hingga 11 malam) dan 26 Mei (12 tengah hari hingga 1 petang).
“Antara laluan yang terlibat ialah dari Kompleks Bunga Raya menuju ke Lebuh Raya KLIA Extension, Plaza Tol KLIA, Lebuh Raya ELITE, susur masuk ke Putrajaya, susur ke Lebuh Raya MEX serta RNR Seri Kembangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, laluan itu akan diaktifkan bermula 23 Mei pada pukul 12 tengah hari sehingga selesai urusan pergerakan.
Katanya, bagi pergerakan melalui TUDM Subang pula, kawalan akan dilaksanakan pada 25 Mei di antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.
“Laluan membabitkan TUDM Subang ke Jalan Monfort, Lebuh Raya GCE, Plaza Tol Shah Alam, Lebuh Raya NKVE, susur keluar KM 22 ke Lebuh Raya Utara-Selatan dan sempadan Selangor-Kuala Lumpur (KM 25.1 Pintu Gerbang),” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya agar merancang semula perjalanan mereka bagi mengelakkan kesesakan serta mematuhi arahan petugas keselamatan yang bertugas di lapangan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai dalam memastikan kelancaran pergerakan delegasi serta keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE