PETALING JAYA – Seorang wanita dihubungi individu ‘misteri’ selepas dia memuat naik hantaran di media sosial yang meminta orang ramai supaya tampil jika terdapat hutang yang masih belum dijelaskan oleh arwah suaminya.
Menurut perkongsian di Threads oleh @Fyezahfuad, individu terbabit telah menuntut bayaran hutang daripada wanita itu.
“Individu itu cakap arwah berhutang RM1,500, tapi peliknya dia cakap tak apa kalau bayar RM1,000 saja. Siap cakap itu ‘discount’. Apabila kami minta bukti, dia bagi resit palsu.
“Apabila tanya kawan-kawan arwah, semua tidak kenal. Kami percaya dia dapat nombor dari laman perniagaan milik arwah,” katanya.

Perkongsian itu turut mengundang kemarahan orang ramai yang mengecam tindakan sesetengah pihak yang sanggup mempergunakan kematian untuk menipu.
“Itulah kadangkala apabila kita buat siaran, ada pula yang ambil kesempatan. Minta bukti sebelum buat apa-apa bayaran, kata @Achikezam.
“Orang dah meninggal pun nak tipu. Tidak pernah terfikir dalam fikiran ‘scammer’ sejahat ini, kata @Umi_sha92.
“Memang ada macam itu, sama macam kawan saya suami dia meninggal tiba-tiba ada orang datang rumah dia menagih hutang. Kawan saya tak kenal pun, bila minta tunjuk bukti kata takde,” kata @Benangemas2021. – KOSMO! ONLINE