fbpx

Pukul isteri tauke guna tukul besi, larikan 15.36 gram emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK dicekup bersama-sama lima utas rantai emas dan tukul besi dalam kejadian samun di Jalan Bunga Raya, Melaka.

MELAKA – Seorang lelaki dicekup orang ramai selepas disyaki memukul wanita warga emas menggunakan tukul besi sebelum melarikan barang kemas seberat 15.36 gram dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, suspek berusia 31 tahun berjaya dicekup beberapa pekerja kedai roti dan kafe selepas dia terjatuh ketika melarikan ke arah jambatan Sungai Melaka pada jarak 200 dari lokasi samun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan semula telah dilakukan pasukan Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Melaka Tengah yang ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan lima rantai emas seberat 15.36 gram yang disamun.

“Dalam kejadian ini, seorang wanita berusia 70 tahun yang merupakan isteri kepada pemilik kedai emas mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul suspek menggunakan tukul besi,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, mangsa dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Semasa tangkapan semula dibuat, suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing itu turut cedera di bahagian kepala, kedua belah kaki dan tangannya.

“Hasil saringan ujian air kencing ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI