KLUANG – Seorang lelaki warga asing disyaki aktif melakukan samun bersenjata di sekitar daerah ini sejak awal tahun ini mati ditembak dalam kejadian di kebun kelapa sawit Kampung Palembang Baru di sini, hari ini.
Kejadian pada pukul 3 pagi itu melibatkan suspek berusia dalam lingkungan 50-an.
Menurut sumber, suspek dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Sebaik menyedari kehadiran polis, lelaki itu cuba menyerang anggota dengan menggunakan parang.
“Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya ketika dihubungi di sini.
Polis Johor dijangka mengeluarkan kenyataan media atau sidang akhbar berkaitan kejadian tembakan tersebut dalam masa terdekat.
Sementara itu, penduduk kampung dikatakan tidak mengetahui kejadian tembakan tersebut walaupun jarak lokasi tersebut dan kediaman mereka hanya 200 meter.
Sodikin Dullah Ismail, 73, memberitahu, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas melihat kenderaan dan anggota polis keluar masuk di lokasi.-KOSMO! ONLINE