JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Cirebon, wilayah Jawa Barat digemparkan dengan fenomena air sungai berwarna merah seperti darah, lapor laman berita Detik semalam.
Berdasarkan satu rakaman video, air Sungai Silayar yang kebiasaannya jernih menjadi warna merah pekat.
Jabatan Alam Sekitar Daerah Cirebon dengan segera menghantar pegawai untuk memeriksa fenomena tersebut.
Menurut agensi tersebut, jangkaan awal bagi punca keadaan itu adalah air daripada kilang tekstil ketika proses pencelupan fabrik atau percetakan skrin.
“Pasukan kami sudah pergi ke lokasi untuk melakukan siasatan.
“Pemeriksaan awal menunjukkan sisa tekstil, namun kami masih mengumpulkan data dan menyelaras dengan pihak terbabit,” kata Ketua Jabatan Alam Sekitar Daerah Cirebon, Iwan Ridwan Hardiawan.
Sementara itu, Ketua Kampung Kecomberan, Mastur Hidayat mengesahkan bahawa perubahan warna air itu memang berlaku, namun dalam tempoh singkat.
“Ini kali pertama ia berlaku di kawasan kami. Penduduk amat bimbang kerana air sungai biasanya digunakan untuk pelbagai aktiviti.
“Kami berharap agar pihak berkuasa segera membuat siasatan dan mengambil tindakan supaya ia tidak mendatangkan kesan yang lebih teruk kepada alam sekitar,” katanya. – AGENSI