PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menyiasat projek MyKiosk jika benar wujud elemen rasuah seperti yang didakwa beberapa pihak.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima laporan berhubung perkara berkenaan daripada dua pihak termasuk menerima dokumen berkaitan projek berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima dokumen berkaitan projek MyKiosk oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) hari ini selain laporan oleh Pemuda MCA semalam.
“Ada laporan diterima, saya boleh sahkan (laporan) oleh MCA semalam dan hari ini ada pihak KPKT membekalkan beberapa dokumen (berkaitan projek MyKiosk).
“Saya beri jaminan sekiranya ada elemen rasuah, kita akan siasat, bagi masa kepada kita untuk melihat apa-apa keterangan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hari ini, JKT yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk di Ibu Pejabat SPRM di sini.
KPKT dalam kenyataan berkata penyerahan dokumen secara sukarela itu sebagai tanda komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan serta integriti projek itu. – KOSMO! ONLINE