BACHOK – Suami pemilik spa yang disimbah asid di Beris Kubur Besar di sini pada Sabtu lalu percaya ada suspek lain yang terlibat dalam kejadian sehingga menyebabkan isterinya cedera parah di belakang badan dan lengan.
Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, penahanan ke atas wanita iaitu pekerja kilang getah semalam berkemungkinan untuk membantu siasatan bagi mengesan suspek lain yang terlibat dalam kes tersebut.
Justeru, lelaki itu berharap pihak polis dapat mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam insiden berkenaan.
“Meskipun polis menahan seorang wanita di Kuala Krai semalam, saya percaya ada suspek lain yang terlibat menyimbah asid ke arah isteri saya.
“Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia yang melakukan siasatan sehingga tertangkapnya salah seorang suspek. Saya harap kes ini dapat segera diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Syahrul Ikhwan memberitahu, isterinya, Nor Faziera Muda, 37, akan menjalani pembedahan kali ketiga untuk mencuci kesan asid dalam badannya hari ini.
Katanya, keadaan isterinya bertambah baik apabila wanita itu sudah boleh makan dan minum, namun perlu berpuasa untuk menjalani pembedahan.
“Saya menemani isteri setiap malam selepas dia dipindahkan ke wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.
“Isteri juga pernah bertanya sama ada suspek sudah ditangkap. Dia sangat berharap kes ini dapat segera diselesaikan,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan seorang wanita ditahan disyaki terlibat kes menyimbah asid ke atas pemilik spa sehingga parah di Beris Kubur Besar hujung minggu lalu.
Wanita yang berusia 38 tahun yang bekerja di kilang getah itu ditahan di sebuah rumah di Kuala Krai petang semalam. – KOSMO! ONLINE