KUALA LUMPUR – Selepas empat kejohanan tersingkir di pusingan awal, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kembali ke prestasi terbaik selepas mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, pasangan No.8 dunia itu menang 21-17, 21-13 ke atas beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.
Kai Wun berkata, Kemenangan itu sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat serta memberikan motivasi kepada mereka menjelang aksi suku akhir menentang rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani esok.
“Kejohanan-kejohanan sebelum ini kami banyak kalah awal, jadi mara ke suku akhir memang memberikan lebih keyakinan kepada kami. Sebelum ini memang ada rasa (prestasi) sedikit merosot tetapi sekarang kembali (baik).
“Peningkatan itu memang ada dan masih dalam proses,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan hari ini.
Menjelang suku akhir esok, Wei Chong-Kai Wun akan membuat perhitungan menentang Sze Fei-Izzuddin yang membenam cabaran pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh menerusi aksi straight set 21-19, 21-13.
“Untuk perlawanan seterusnya, saya rasa kami perlu melakukan persiapan terbaik. Sekiranya dapat mengekalkan aksi konsisten, kami akan lebih yakin dan boleh lawan sesiapa pun,” ujar Wei Chong. – KOSMO! ONLINE