KUALA LUMPUR – Keputusan berat sebelah umpire perlawanan meragut semangat beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing ketika beraksi pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, juara remaja dunia itu terpaksa akur tewas 10-21, 26-24, 16-21 kepada pilihan ketujuh dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan penonton di stadium menyuarakan rasa tidak puas hati atas keputusan tidak konsisten dibuat umpire berkenaan.
Khai Xing berkata, dia dapat menerima kekalahan itu dengan hati terbuka, namun bukannya dengan keputusan tidak adil yang dibuat umpire berkenaan sepanjang perlawanan berlangsung.
“Saya pun tidak tahulah nak cakap apa, memang tidak ada jawapan. Bagi saya, ini macam tidak adil kerana bola (bulu tangkis) keluar dia cakap masuk, bola tidak terkena (badan) dia kata kena.
“Bagi saya ada sedikit (terganggu) sebab bukan sekali tetapi empat atau lima kali. Memang ia akan mengganggu juga pemikiran kami,” katanya kecewa ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Terdahulu, perlawanan terhenti seketika apabila umpire mendakwa bulu tangkis terkena badan Aaron, sekali gus membolehkan Denmark mendahului 15-12 sehingga menyebabkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi membantah keputusan itu.
Sementara itu, melangkah ke suku akhir esok adalah tiga beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah.
Satu slot separuh akhir beregu lelaki sudah pasti menjadi milik Malaysia apabila Wei Chong-Kai Wun dan Sze Fei-Izzuddin akan bertemu sesama sendiri manakala Aaron-Wooi Yik menentang Kjaer-Sogaard.
Pearly-Thinaah pula bakal membuat perhitungan dengan beregu Indonesia, Febriana Dwipuji-Amalia Cahaya Pratiwi yang turut memburu slot ke separuh akhir. – KOSMO! ONLINE