HULU TERENGGANU – Seorang buruh diberkas bagi membantu siasatan dakwaan melakukan amang seksual dua anak jirannya di sebuah kampung di daerah ini semalam.
Lelaki warga emas berusia 66 tahun telah ditahan di rumahnya yang bersebelahan kediaman dua beradik perempuan itu pada pukul 7.04 malam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral itu terhadap mangsa yang masing-masing berusia 10 dan 14 tahun.
“Kejadian dikatakan berlalu ketika hanya dua beradik perempuan tersebut berada di dalam rumah mereka. Tindakan menahan suspek terus dilakukan sebagai menerima laporan daripada mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sharudin berkata, lelaki warga emas terbabit telah direman selama lima hari sehingga Isnin ini mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE