PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi beberapa tangkap layar sikap biadab pekerja sebuah kedai makan di Johor yang membalas komen pelanggan dengan nada sinis di platform pesanan makanan dalam talian.
Menerusi satu hantaran di laman Threads milik @Mslululily, dia pada mulanya sedang meninjau ulasan pelanggan kerana ingin membuat pesanan, namun terus membatalkan niat selepas membaca balasan ulasan pihak kedai.
“Tengah ‘scroll’ nak pesan makanan, bacalah ulasan. Lepas tengok kedai punya balas, tak jadi nak pesan,” kata pemilik akaun tersebut.
Antara komen pelanggan termasuk dakwaan lauk sedikit tawar dan saiz hidangan yang tidak berbaloi. Bagaimanapun, pihak kedai seakan-akan tidak boleh ditegur dan membalas dengan nada sindiran.
“Aku rasa kau kuat masin. Pelanggan lain makan tak ada yang mengadu. Kau nak aku curah garam berapa gunung?” balasnya kepada pelanggan.
Tidak cukup dengan itu, staf kedai turut menyembur seorang lagi pelanggan yang tidak berpuas hati dengan saiz makanan diterima.
“Kalau nak portion besar masak sendiri. Kau ada bela jin ke? Lagi satu kau tak tahu nak beza jenis nasi goreng. Pelanggan lain order tak ada mengadu sangat. Banyak sangat cekadak, kau masak la sendiri,” kata pihak kedai itu lagi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan pihak kedai makan tersebut yang disifatkan tidak profesional dan keterlaluan.
“Mak aih, ini period 24 jam, 365 hari ke hahah,” komen @Mcna.anna.
“Alamak..diaorang dah padam feedback customer.. Gelabah kena kecam la tu,” kata @Meyul_rul.
“Pelanggan bagi maklum balas supaya pemilik restoran boleh membuat sedikit penambahbaikan. Patut ambil sebagai maklum balas positif,” ujar @Gwentam89. – KOSMO! ONLINE