BALIK PULAU – Perbuatan kejam sepasang suami isteri dipercayai mendera anak perempuan mereka berusia 12 tahun berakhir selepas ditahan di sebuah kondominium di Sungai Ara, di sini pada Selasa lalu.
Pasangan berusia 49 dan 47 tahun itu masing-masing bekerja sebagai pengurus program dan jurutera diberkas selepas guru besar membuat laporan polis pada pukul 11.57 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, seorang guru kaunseling melihat ada kesan lebam dan luka pada bahagian belakang badan kanak-kanak terbabit.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan anak kedua dirotan di belakang badan pada Ahad lalu.
“Mangsa juga mengadu kepada pihak sekolah bahawa dia sering dipukul dan pernah dikurung dalam sangkar anjing oleh ibu bapanya. Setakat ini polis masih menyiasat dakwaan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sazalee berkata, kanak-kanak tersebut ditempatkan dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Polis merampas sebatang rotan di kediaman suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE