PETALING JAYA – “Saya bukan berniat nak tularkan kisah anak, tetapi mahu semua orang sedar tentang bahaya anjing liar sehingga organ penting seperti hati anak terpaksa dikorbankan.”
Demikian kata Noor Azlina Abdul Samad, ibu kepada Muhammad Adeeb Naqiuddin Mohd. Zarawi, 14, yang parah akibat terjatuh selepas dikejar sekumpulan anjing liar di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 2 Mei lalu.
Menurut wanita itu, ketika ini anaknya masih dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas menjalani pembedahan pada 15 Mei lalu melibatkan tiga organ utama iaitu hati, usus dan limpa.
“Pembedahan selama lima jam itu terpaksa dilakukan berikutan keadaan anak makin membimbangkan dengan hati kanannya terpaksa dibuang disebabkan pendarahan teruk.
“Darah turun secara mendadak dan boleh membahayakan nyawa, jadi doktor terpaksa melakukan pembedahan bagi membuang sebahagian hati.
“Disebabkan itu anak saya memerlukan tujuh pek beg darah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelas Noor Azlina, walaupun anaknya sudah sedar, namun keadaan remaja itu masih lemah dan masih bergantung dengan bantuan mesin pernafasan.
“Sudah 19 hari anak saya tidak makan dan meminum susu yang dimasukkan melalui tiub. Nadinya masih laju. Kami masih trauma dan hanya mampu berdoa.
“Ini hadiah termahal sempena Hari Guru pada 16 Mei lalu buat kami berdua (bersama suami) kerana anak selamat menjalani pembedahan selain anugerah nyawa daripada Yang Maha Esa buat Adeeb,” katanya yang bekerja sebagai guru.
Tambahnya, sejak insiden yang nyaris meragut nyawa Adeeb itu, dia dan keluarganya menjadikan hospital sebagai rumah kedua mereka kerana perlu berulang-alik ke fasiliti kesihatan itu setiap hari.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang remaja lelaki parah selepas terjatuh ke dalam longkang setelah dikejar sekumpulan anjing liar ketika perjalanan pulang ke rumah dari Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Rawang pada 2 Mei lalu.
Dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, mangsa dikatakan melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh. Rakan mangsa yang berusia 14 tahun bagaimanapun tidak cedera.
Susulan kejadian itu, penduduk Bandar Tasik Puteri merayu pihak berkuasa tempatan supaya bertindak segera kerana sudah tidak tahan dengan gangguan anjing liar yang makin bertambah hingga mengancam keselamatan mereka.














