fbpx

HFMD di Selangor kini terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUAM merupakan salah satu gejala HFMD. – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di kalangan kanak-kanak di Selangor berada dalam terkawal selepas meningkat pada minggu Epidemiologi 19 (ME 19/2025) sebanyak 39,233 kes yang berakhir pada 10 Mei lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, peningkatan jumlah kes dikesan lebih ketara sebelum ini dari ME 15 hingga ME 19 selepas minggu pertama perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes adalah pergerakan orang ramai yang lebih aktif, aktiviti kunjung-mengunjung, interaksi rapat antara kanak-kanak di kawasan tumpuan seperti rumah saudara -mara serta perkongsian makanan dan permainan.

“Faktor lain yang dikenal pasti ialah kelonggaran saringan pintu masuk (gate-keeping) di fasiliti jagaan kanak-kanak bagi mengenalpasti kanak-kanak bersimptom bagi tujuan pengasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak sembilan kes melibatkan varian Enterovirus 71 (EV71) turut dilaporkan iaitu tujuh kes di Sabak Bernam dan dua di Hulu Langat.

Tambahnya, seorang pesakit di Sabak Bernam telah dimasukkan ke wad dan telah pulih sepenuhnya, manakala lapan lagi kes menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Didapati, kebanyakan kluster HFMD di Selangor berlaku terutamanya di institusi penjagaan dan pendidikan kanak-kanak termasuk di taska, prasekolah dan pusat tuisyen sebanyak 42.8 peratus, sekolah rendah (5 peratus), pusat jagaan harian (3 peratus) dan sekolah menengah (0.2 peratus ) selain 49 peratus wabak berlaku di rumah kediaman,” katanya.

Jelasnya, pada ME 19 yang sama sebanyak 192 premis melakukan pemutuan secara sukarela dan 435 premis secara penguatkuasaan di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengeluarkan arahan untuk meningkatkan pengambilan sampel terutama di lokasi berlakunya wabak bagi tujuan pemantauan dan pengesanan varian virus yang lebih berkesan.

“Selain itu, ibu bapa disarankan untuk tidak menghantar anak-anak yang mempunyai gejala ke taska, tadika, prasekolah mahupun sekolah selain pengusaha institusi pendidikan awal kanak-kanak juga disaran untuk tidak menerima kanak-kanak yang bergejala,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI