LONDON – Aston Villa dan Nottingham Forest diramal gagal menempatkan diri dalam kelompok lima teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, sekali gus terlepas peluang beraksi di pentas Liga Juara-Juara (UCL) 2025/26.
Menurut analisis Opta, hanya Liverpool dan Arsenal telah mengesahkan slot masing-masing, manakala tiga lagi tempat bakal ditentukan pada aksi penutup musim yang dijadual berlangsung hujung minggu ini.
Manchester City dilihat memiliki kelebihan besar apabila meraih kemenangan ke atas Bournemouth awal pagi semalam untuk melonjak ke tangga ketiga dan Opta meletakkan 85.5 peratus (%) kebarangkalian skuad kendalian Pep Guardiola itu kekal dalam kelompok lima teratas.
Newcastle juga kekal dalam radar kelayakan apabila diberikan 83% peluang meskipun kekalahan kepada Arsenal baru-baru ini sedikit menjejaskan momentum mereka dan The Magpies dijadual menentang Everton dalam perlawanan terakhir.
Chelsea pula muncul pesaing terdekat bagi melengkapkan kelompok lima terbaik dengan 60.3% kemungkinan, mereka dijangka menamatkan musim di tempat kelima, namun perlu melepasi halangan sukar menentang Forest di City Ground.
Dalam masa sama, Villa yang kini menghuni tempat keenam berada dalam situasi sukar apabila bakal berdepan Manchester United di Old Trafford, Opta hanya memberikan mereka 45.3 peratus peluang untuk memintas pesaing terdekat.
Buat Forest, peluang untuk melakar kejutan ke UCL semakin menipis apabila hanya diberikan 27.5 peratus kebarangkalian dan jika tewas kepada Chelsea, skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu dijangka sekadar menghuni tangga ketujuh dan beraksi di UEFA Liga Konferens.
Ketika hanya satu mata memisahkan kedudukan pasukan di tempat ketiga hingga ketujuh, perebutan tiga slot terakhir ke UCL kini tertumpu kepada lima pasukan iaitu City, Newcastle, Chelsea, Villa dan Forest yang bakal menentukan nasib masing-masing dalam aksi penamat penuh debar. – AGENSI