fbpx

Empat mangsa nahas trak FRU masih dirawat di ICU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bakri (tengah) menunjukkan trak FRU yang dirempuh lori muatan batu di Jalan Chikus-Sg. Lampam di Teluk Intan di pekarangan IPD Hilir Perak hari ini.

TELUK INTAN – Empat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam yang cedera dalam nahas di Jalan Chikus-Sg. Lampam di sini minggu lalu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, anggota yang dirawat di ICU Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd. Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39.

Katanya, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, yang dipindahkan dari Hospital Teluk Intan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari kejadian 13 Mei lalu kini ditempatkan di ICU hospital sama.

“Keadaan empat anggota yang berada di ICU kini stabil dan menunjukkan perkembangan positif. Mereka sudah pun sedar dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Sarjan Mohd. Parih Ali, 44, yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Teluk Intan telah pun dibenarkan keluar hospital pada pukul 6.30 petang semalam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, pemulihan akibat kemalangan itu dijangka mengambil masa berikutan tahap kecederaan serius yang dialami anggota FRU terlibat.

Katanya, kesan himpitan yang dialami semasa kemalangan menjadi antara faktor kepada kerosakan organ dalaman mangsa.

“Memang mengambil masa untuk pulih sebab kebanyakan mereka cedera teruk,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, IPD Hilir Perak terus komited menjaga kebajikan waris anggota yang dirawat di hospital bagi memastikan segala keperluan mereka sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI