GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membekukan lebih 150 akaun dipercayai milik keldai akaun sindiket perjudian dalam talian dan penipuan siber di negeri ini yang melibatkan nilai wang melebihi RM32 juta.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembekuan akaun terbabit merupakan sebahagian daripada tindakan tegas pihak berkuasa, khususnya melalui operasi Ops Dadu dalam usaha membanteras jenayah terbabit.
“PDRM melaksanakan operasi seperti Ops Dadu secara berterusan untuk menumpaskan sindiket perjudian dan ‘scam’,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Kon Yeow (DAP- Padang Kota) menjawab Joseph Ng Soon Siang (DAP- Air Itam) mengenai langkah yang diambil pihak berkuasa bagi mengatasi kes perjudian dan scam.
Kon Yeow berkata, sepanjang tahun 2023, sebanyak 2,337 kes berkaitan aduan perjudian dalam talian direkodkan dengan 2,681 tangkapan serta 1,390 pertuduhan.
“Bagi tahun 2024 pula, jumlah kes menurun kepada 1,510 dengan 1,810 tangkapan dan 1,084 pertuduhan.
“Sehingga Mac 2025, sebanyak 485 kes telah direkodkan melibatkan 542 tangkapan dan 255 pertuduhan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa komited untuk bekerjasama rapat dengan semua agensi penguat kuasa bagi memastikan kegiatan haram seperti ini dapat dibanteras secara menyeluruh demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat di negeri ini. -KOSMO! ONLINE