IPOH – Dua anggota polis berpangkat lans koperal dan seorang bekas Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima rasuah RM20,000 daripada pesalah dadah dua tahun lalu.
Tertuduh, Wan Mohd. Nor Imran Wan Seman, 35, yang kini bekerja sebagai pemandu lori dan Ahmad Rabani Rusnizal, 29, serta Mohamad Shukre Mohamed Rowi, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mereka bertiga yang bertugas di Unit Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Merbok didakwa secara bersama memperoleh suapan wang RM20,000 melalui pindahan wang daripada seorang lelaki berusia 37 tahun ke dalam akaun bank Ahmad Rabani.
Wang itu sebagai dorongan supaya ketiga-tiga tertuduh tidak mengambil tindakan ke atas lelaki terbabit kerana memiliki syabu yang menjadi kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Perbuatan itu dilakukan di BSN-CPI Kamunting dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada pukul 3 pagi, 24 dan 25 Julai 2023.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE