KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cadangan untuk menaikkan had umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun wajar diberikan perhatian dan pertimbangan.
Bagaimanapun beliau berkata, belum ada sebarang perbincangan bersama barisan Jemaah Menteri mengenai cadangan berkenaan setakat ini.
“(Cadangan) Belum bawa ke Kabinet. Selalunya kita bincang dahulu kemudian akan dibentangkan ke Jemaah Menteri.
“Biar mereka kaji (dahulu) implikasinya (seperti) kewangan, penduduk (demografi), peluang pekerjaan baharu dan sebagainya sebab cadangan itu wajar diberikan perhatian serta pertimbangan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa anjuran Public Bank Berhad dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan had umur persaraan dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.
Katanya, pandangan secara peribadi itu dilontarkan berdasarkan pemerhatiannya terhadap jumlah individu yang berusia 60 tahun ke atas dilihat masih sihat, aktif dan berkemampuan untuk terus menyumbang perkhidmatan mereka.
Cadangan berkenaan bagaimanapun menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan umur dan latar belakang. – KOSMO! ONLINE