PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal dalam permohonan untuk memulakan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas menolak permohonan semakan tersebut.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.
Semasa prosiding, peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar, 65, dan Zizie Izzette, 47, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.
Pada 18 November 2024, Mahkamah Rayuan memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga tuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan mereka yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 September 2023.
Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob yang mendengar keseluruhan perbicaraan di peringkat pendakwaan memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga tuduhan rasuah itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati di sini pada 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.
Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.
Pada April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen baharu yang akan mendengar bicara bela diri itu membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette bagi menggantung prosiding pembelaan mereka.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pembelaan memaklumkan pendakwaan tidak membantah sehingga permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan terbabit membela diri atas pertuduhan berkenaan diputuskan.
Hakim Rosli menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 September dan 24 hingga 26 September 2025. – KOSMO! ONLINE