PETALING JAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2009 diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas dilengkapkan pada 17 April lalu selaras dengan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 21 November 2023.
“Selepas meneliti keseluruhan keterangan yang diperoleh, AGC membuat keputusan bahawa tiada bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Justeru, AGC mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA pada 19 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Razarudin, keputusan itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada peguam keluarga Beng Hock, Ramkarpal Singh melalui surat dan e-mel pada pukul 3.58 petang, Selasa lalu.
Ia dikeluarkan oleh Ketua Team Siasatan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan / Perundangan) Selangor.
Media hari ini melaporkan AGC mengesahkan kes tersebut diklasifikasikan NFA atas alasan keterangan sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu.
Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi dalam kenyataan berasingan mendedahkan perkembangan terbaharu kes berprofil tinggi itu yang diklasifikasikan sebagai NFA.
Beng Hock yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam. – KOSMO! ONLINE