KUALA LUMPUR – Tanggapan lapuk bahawa bahasa dan ekonomi berada pada jalur yang berbeza tidak lagi relevan dalam realiti dunia moden hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya kita harus membina budaya ekonomi dalam kerangka bahasa sendiri seperti yang telah lama dipraktikkan oleh negara-negara maju.
“Ia sudah lama dipraktikkan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Perancis dan Jerman lantas berjaya memajukan ekonomi tanpa mengorbankan bahasa ibunda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa anjuran Public Bank Berhad dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, di ibu negara hari ini.
Pada masa sama beliau turut menyeru agar usaha memperkukuh Bahasa Melayu tidak dianggap sekadar simbol kosong, tetapi sebagai wahana sebenar kemajuan dan pembinaan tamadun.
“Program Hadiah Bahasa ini cukup bermakna buat saya secara peribadi. Seawal tahun 1984, saya diberi kepercayaan menjadi penaung Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) yang ketika itu bekerjasama dengan Public Bank dalam penganjuran edisi pertama Hadiah Bahasa.
“Hari ini, selepas 27 tahun, kita menghidupkan kembali legasi berharga ini dengan nafas dan semangat baharu,” ujarnya.
Tambah beliau, langkah berani institusi kewangan seperti Public Bank dalam mendukung perjuangan memperkasakan bahasa kebangsaan merupakan teladan unggul.
“Ia juga membuktikan bahawa kemajuan ekonomi dan jati diri bangsa bukan sahaja boleh, malah harus bergerak seiring.
“DBP pula kekal sebagai tiang seri kepada perjuangan ini bagi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa tamadun,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE