SEREMBAN – Kerajaan Negeri akan menaikkan nilai Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) daripada RM1,000 kepada RM2,000 mulai tahun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Ketua-Ketua Jabatan diminta agar lebih teliti dalam pemilihan calon APC, dengan memastikan hanya individu yang menunjukkan prestasi kerja luar biasa, berintegriti dan bebas daripada sebarang isu tatakelola dipertimbangkan.
“Sudah tiba masa kita ubah pendekatan. APC bukan lagi diberi kerana giliran atau rasa kasihan. Ada yang terpaksa beri sebab tidak pernah dapat, ada yang terpaksa beri sebab dah lama tak dapat.
“Tapi seharusnya orang yang benar-benar buat kerja, mereka yang bertungkus-lumus, tidak ada masalah tatakelola dan integriti. Kita ubah negeri ini.
“Mulai tahun depan, saya mohon Ketua Jabatan serius memilih calon APC, kerana bermula tahun depan saya mohon jumlah nilai APC dinaikkan dari RM1, 000 kepada RM2, 000,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Menurutnya, penerima APC juga tidak akan dihadkan kepada sekali penerimaan sahaja, sebaliknya boleh menerimanya semula pada tahun berikutnya jika terus menunjukkan prestasi luar biasa.- KOSMO! ONLINE