fbpx

‘Adik cakap nak pergi jauh, tak sangka ‘pergi’ menghadap Ilahi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD TAQUEUDDIN (kanan) ketika makan malam bersama abangnya, Mohd Nazarul Ilham serta anak-anak saudaranya, di Pontian, disini, baru-baru ini.

PONTIAN – Perbualan adik bongsu yang menyatakan mahu pergi jauh ketika bersua muka malam kelmarin di rumah keluarganya di Taman Saujana di sini, adalah satu petanda akan pergi buat selamanya.

Menurut Mohd. Nazarul Ilham Ibrahim, 37, perbualan itu pada tanggapannya adalah perbualan biasa kerana adiknya, Muhammad Taqueuddin, 28, pernah memberitahu akan berkonvoi bermotosikal ke Thailand pada 26 Jun depan.

“Malam kelmarin, adik ada datang ke rumah saya, datang melawat lepak dekat rumah, semasa berbual dia ada cakap nak pergi jauh sebab dia pernah cakap nak pergi konvoi dekat Thailand bulan depan. Tak sangka pulak itu petanda dia nak ‘pergi’ buat selamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pontian, di sini pagi hari ini.

Muhammad Taqueuddin meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 petang semalam selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Kenari di Simpang Empat Parit Patah di sini.

Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar kereta Perodua Kenari yang keluar simpang secara tiba-tiba.

Seorang lagi abangnya, Mohd. Idris, 39, yang tinggal bersama Allahyarham di Rumah Pangsa Jalan Parit Masjid berkata, biasanya sebelum keluar bekerja, arwah akan bersalaman dengannya terlebih dahulu.

Namun katanya, pada pagi semalam, Allahyarham tidak bersalaman dan terus ke tempat kerja di Gelang Patah, Johor Bahru, yang menyebabkan dia merasa ada sesuatu yang tidak kena pada adiknya.

“Saya mendapat tahu mengenai kejadian tersebut ketika berada di Masjid Jamek Kampung Parit Mesjid, tidak jauh dari lokasi kemalangan yang menimpa adiknya itu,” katanya dengan nada sedih. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI