fbpx

Visi pertumbuhan ASEAN tumpu aspek ekonomi, kesalinghubungan tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan visi strategik yang lebih berani bagi pertumbuhan ASEAN pada peringkat seterusnya dengan memberi penekanan kepada aspek pengintegrasian ekonomi lebih kukuh serta kesalinghubungan tenaga rentas sempadan.

Katanya, tumpuan kepada aspek terbabit merupakan antara tonggak utama diketengahkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Anwar berkata, Malaysia bertekad membawa ASEAN melangkaui peranannya sebagai platform neutral ke arah menjadi kekuatan serantau lebih kuat dan berteraskan nilai di rantau Indo-Pasifik.

“Sebahagian daripada fokus kita tahun ini adalah memperkukuh keterpaduan ASEAN, meningkatkan kepentingan ekonomi dan perdagangan serta menggalakkan pelaburan dalam kalangan negara anggota,” katanya.

Anwar berkata demikian pada Sesi Taklimat Bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini tadi.

Selain itu, Anwar turut menyentuh tentang projek ASEAN Power Grid yang disifatkan sebagai langkah besar dalam kerjasama tenaga serantau.

“Fasa pertama itu dilihat lebih menjimatkan secara ekonomi di mana ia menyambungkan Vietnam ke Malaysia utara dan selatan, sebelum disambungkan ke Singapura melalui Grid Nasional kita,” katanya.

Kata Anwar, Petronas mungkin diberikan peranan utama dalam pelaksanaan segmen projek ini.

“Fasa seterusnya akan menyaksikan peluasan sambungan ke Kemboja, Thailand dan Sarawak dengan memanfaatkan kapasiti tenaga alternatif Sarawak termasuk gas.

“Ini membuka kemungkinan untuk menyalurkan tenaga ke Kalimantan, ibu negara baharu Indonesia, malah ke selatan Filipina,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI