PETALING JAYA – Seorang anak tidak menyangka arwah ayahnya ada meninggalkan ‘harta’ paling berharga berupa rakaman video ketika menerima rawatan kanser di sebuah hospital.
Perkongsian di TikTok oleh @Bungatelang itu bagaimanapun telah mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang masing-masing berkongsi perasaan sedih.
Menurut wanita tersebut, ayahnya yang meninggal dunia kira-kira sebulan lalu akibat kanser sempat merakam momen berharga itu.
“Bila abah takkan pulang. Rindu abah, sebulan sudah abah pergi (meninggal). Tidak terucap dengan kata-kata sampai menangis tak berbunyi betapa rindunya pada abah.
“Terjumpa video abah ambil sepanjang dia kemoterapi. Banyak rupanya video dan gambar dalam telefon abah,” luahnya pada ruangan kapsyen klip berkenaan.
Rata-rata pengguna media sosial turut merasakan kerinduan yang dialami terhadap pemergian orang tersayang.
“Sedihnya. Mereka pasti berharap akan sembuh seperti sedia kala tetapi apakan daya, takdir berkata lain. Al-Fatihah untuk ayah kita,” kata @Atikah.
“Dia tahu dia dah nak pergi, jadi dia tinggalkan sedikit pengubat rindu dan sebagai kenangan abadi kita sebab yang ini sahaja kita ada untuk tengok, ingat karenah dan suara dia,” ujar @Puteri.
Sementara itu, ramai yang berpandangan wanita tersebut sangat beruntung kerana masih mempunyai kenangan terakhir yang ditinggalkan bapanya kerana tidak semua orang dapat memiliki memori ‘mahal’ tersebut.
“Aku faham tapi kau untung abah pandai ambik gambar. Ayah aku tiada telefon canggih, dia tidak pandai guna, aku hanya simpan dan rekod dia dalam telefon aku. Korang (kamu) simpanlah, selagi ada, nanti bila sudah tiada korang rindu tapi tak boleh tengok,” komen @Memoryland.
“Abah kami tak pandai tangkap gambar buat panggilan video apa semua, tapi nasiblah mesej dia dengan kami tak pernah padam, terubat juga rindu,” kata @Thirah. – KOSMO! ONLINE
@randompostdankakiracunBila abah takkan pulang🥲. Rindu abah, sebulan dh abah pergi. Tak terucap dgn kata-kata sampai menangis tak berbunyi betapa rindunya nurpateha dgn abah dia. Sangat sangat sangat rinduuuuuuuuuuuuuuuuuuu🫂😭