GUA MUSANG – Cerun runtuh di laluan Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk di sini telah dibersihkan oleh pihak konsesi Projek Lingkaran Tengan Utama (LTU) malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, laluan terbabit dibuka semula kira-kira pukul 10 malam bagi membolehkan kenderaan yang terkandas melalui jalan berkenaan.
Katanya, pihak syarikat konsesi telah melakukan kerja pembersihan tanah runtuh akibat hujan lebat menggunakan jentera jengkaut.
“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu pihak konsesi membersihkan sisa lumpur tanah runtuh. Laluan kedua-dua arah telah dibuka pada pukul 10 malam tadi untuk semua kenderaan,”katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE