SEBERANG PERAI – Polis membongkar taktik sindiket pengedaran dadah yang menyimpan 37.8 kilogram (kg) dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM6.3 juta dalam kereta di sekitar Gorge Town, semalam dan hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan tersebut turut membawa kepada penahanan enam lelaki berusia antara 33 hingga 41 tahun oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Beliau berkata terdahulu, seorang lelaki ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada pemeriksaan sebuah kereta yang diparkir di kawasan awam.
“Kita menemui dua beg kain mengandungi 532 peket berwarna ungu, lima kotak yang mengandungi 777 peket plastik pelbagai warna yang berisi serbuk MDMA.
“Selain itu, terdapat satu bungkusan plastik mengandungi beg kertas dan plastik bungkusan bagi tujuan pengeposan.
“Susulan tangkapan pertama, lima lagi suspek yang terlibat dalam kes terbabit turut ditahan. Kesemua suspek merupakan penganggur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.
Tambahnya, sebanyak tujuh buah kereta turut disita selain barang kemas bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,550 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM6.6 juta.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis Benzo, menakala empat lagi positif dadah jenis ketamin. Semakan rekod lampau mendapati satu tangkapan mempunyai 16 rekod jenayah berkaitan kes curi dan empat lagi ada rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE