JOHOR BAHRU – Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa akan diserang sakit jantung sekiranya berjaya menewaskan Nurul Izzah Anwar pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR, pada Sabtu ini.
Menteri Ekonomi itu berkata, ini kerana beliau tahu adalah mustahil untuk mempertahankan jawatan itu yang turut ditandingi anak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Dakwa Rafizi, ini kerana semuanya sudah ‘atur’ bagi pemilihan jawatan tersebut pada kali ini, sama seperti yang terjadi pada pemilihan Ketua Cabang PKR di beberapa lokasi.
“Saya boleh jamin, walaupun kempen berjalan baik, sambutan bagus, kalau saya menang, saya boleh kena sakit jantung. Sebab saya tahu yang saya tak akan menang.
“Saya bukan bodoh, bukan budak baru belajar, saya dah bertanding sejak 1999, sudah banyak pemilihan parti yang dilalui.
“Sebab kalau saya tahu begini caranya sudah disusun dan sebagainya, isyaratnya jelas saya akan kalah, saya tidak ada masalah,” katanya ketika berucap Jelajah Hiruk di New York Hotel, di sini malam tadi.-KOSMO! ONLINE