LANGKAWI – Kerajaan komited untuk mewujudkan tadbir urus maritim yang cekap dan bersepadu termasuk bagi mengatasi pertindihan bidang kuasa dan sebarang ketidakcekapan menerusi Dasar Maritim Negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu penting meskipun negara mempunyai struktur tadbir urus maritim yang komprehensif.
“Pada masa ini, Malaysia menguatkuasakan lebih 15 akta dan perintah berkaitan maritim dengan melibatkan lebih 30 agensi dan pelbagai kementerian.
“Pertindihan bidang kuasa, ketidakcekapan dan kekangan sumber perlu ditangani dengan segera,” katanya ketika berucap pada Persidangan Maritim Malaysia 2025 sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.
Katanya, antara langkah untuk mewujudkan tadbir urus maritim yang bersepadu termasuk menyusun semula penguatkuasaan undang-undang maritim bagi menghapuskan pertindihan dan meningkatkan koordinasi antara agensi.
“Memperkukuhkan pendigitalan dan perkongsian data bagi mempertingkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) melalui risikan dan pemantauan masa nyata.
“Selain itu merangka Dasar Maritim Kebangsaan untuk menyelaras keselamatan ekonomi dan keutamaan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkukuhkan kerangka perundangan untuk menangani isu aktiviti perikanan haram, pencemaran laut dan pencerobohan asing di perairan negara.
“Dengan memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan, Malaysia akan memastikan akauntabiliti dan mengekang aktiviti maritim yang menyalahi undang-undang,” jelasnya.
Sementara itu, Mohamad Khaled berkata, Malaysia kekal komited terhadap pendekatan Ekonomi Biru yang memastikan aktiviti ekonomi di laut tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.
“Eksploitasi berlebihan, perubahan iklim dan pencemaran mengancam ekosistem marin dan juga visi kemakmuran jangka panjang negara.
“Malaysia kekal komited terhadap komitmen ini selaras dengan Pelan Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya SDG 14: Kehidupan di Bawah Air serta menyokong visi kita untuk ekonomi berasaskan laut yang berdaya tahan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE