BANGKOK – Mahkamah Agung Thailand menjatuhi hukuman penjara lebih dua tahun terhadap penyanyi rock terkenal, Sek Loso berhubung kesalahan berkaitan dadah, lapor laman berita The Pattaya News hari ini.
Sek Loso atau nama sebenarnya Seksan Sukpimai, dihukum penjara selama dua tahun, 12 bulan dan 20 hari.
Keputusan itu membabitkan kes tahun 2017, yang melibatkan pertuduhan berkaitan dadah dan menghalang penahanan pihak berkuasa.
Keputusan itu menarik perhatian umum kerana status Sek Loso sebagai figura terkemuka dalam industri muzik Thailand sebagai penyanyi, penulis lagu dan pemuzik.
Mahkamah mendapati bahawa penyanyi berusia 50 tahun itu bersalah kerana memiliki dan menggunakan bahan terlarang serta menentang penguatkuasaan undang-undang dilakukan semasa penahanannya pada 2017.
Sek Loso yang terkenal dengan lagu hits seperti Pantip dan Bpam, masih belum mengeluarkan kenyataan umum berhubung hukuman tersebut.
Pasukan peguamnya dijangka menyemak pilihan untuk membuat rayuan atau pengampunan, walaupun tiada butiran lanjut didedahkan pada masa ini. – AGENSI