JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu kereta Perodua Axia dengan melawan arus di kawasan Gelang Patah, sehingga video insiden itu tular di media sosial, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, Tertuduh, S. Thaanesh, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Mengikut kertas pertuduhan, pemandu kereta itu didakwa memandu di atas jalan raya secara melulu dengan cara menyongsang arus kira-kira pukul 9 pagi di Kilometer 4 Jalan Gelang Patah – Ulu Choh, 9 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 bagi sabitan pertama.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu diendorse ke mahkamah dan jika mempunyai lesen percubaan ia akan dibatalkan, jika disabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah serta lesen digantung. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun depan bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, tular video memaparkan tertuduh yang memandu Perodua Axia berwarna jingga, memandu secara melawan arus dalam kesesakan jalan raya sehingga kereta itu ‘dihimpit’ dua treler..-KOSMO! ONLINE