SEBERANG PERAI – Seorang pekerja aksesori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengawal kelab malam atau bonzer, 12 tahun lalu.
Tertuduh, Ooi Chin Leng, 38, mengaku faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-bersama seorang yang masih bebas didakwa membunuh Fouzi Hussen,24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua pada pukul 5.25 pagi, 24 Januari 2013.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk mendapatkan profiling DNA tertuduh. -KOSMO! ONLINE