GOPENG – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan waris mangsa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam tragedi itu sentiasa berada dalam keadaan emosi yang stabil.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, JKM menerusi jabatan psikologi akan kerap berjumpa dengan waris mangsa selagi diperlukan.
“Kita tahu bukan perkara yang mudah apabila kehilangan seseorang secara tiba-tiba. Jadi sebab itu, semalam saya sempat dengan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyampaikan sumbangan Yayasan Kebajikan Negara.
“Kita JKM dari semasa ke semasa berjumpa dengan waris mangsa bagi memastikan berada dalam emosi yang stabil,” katanya kepada pemberita di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.
Terdahulu beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun secara simbolik merasmikan Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Pameran Pengguna dan Ekspo Perdagangan 2025 Brunei Darussalam.
Yayasan Kebajikan Negara telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada waris, selain bantuan segera yang telah diberikan oleh JKM sebelum ini.
Katanya, Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) baru pulang dari luar negara (urusan rasmi) dan mesyuarat akan diadakan untuk membincangkan bantuan-bantuan sewajarnya kepada waris. – KOSMO! ONLINE