fbpx

Malaysia Masters: Taktikal Nguyen perangkap Jun Hao

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao ketika menentang pemain Ireland, Nhat Nguyen pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena di sini, hari ini. Gambar: ISKANDAR ISHAK

KUALA LUMPUR – Harapan pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk mencipta kebangkitan selepas pulih daripada kecederaan tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen dalam pusingan pertama Malaysia Masters 2025, hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil tersebut Jun Hao memulakan perlawanan dengan cukup agresif apabila mudah mengungguli set pertama 21-10, namun gagal mengekalkan rentak apabila Nguyen mengubah taktikal permainan dan kembali bangkit untuk menang dua set berikutnya 21-18, 21-9.

Perubahan gaya permainan Nguyen, terutamanya dari segi kepantasan dan corak menyerang pada set kedua dan ketiga nyata menggugat rentak permainan Jun Hao yang dilihat gagal mencari mata kebangkitan untuk mara ke pusingan kedua.

“Mungkin kekalahan ini berpunca daripada perubahan corak permainan Nhat (Nguyen) pada set kedua dan ketiga. Saya rasa agak tidak selesa dan sukar sesuaikan diri dengan tempo yang dia bawa,” kata Jun Hao selepas tamat perlawanan.

Pemain ranking ke-25 dunia itu sebelum ini tidak menyertai Terbuka Thailand minggu lalu bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan kecederaan lengan kanan yang dialami ketika beraksi dalam Piala Sudirman di China, April lalu.

“Minggu lepas saya ambil keputusan untuk tidak sertai kejohanan kerana mahu fokus pada pemulihan, dan di sini saya baru pulih sepenuhnya. Jadi, saya rasa jika saya turun bermain, saya perlu beri yang terbaik dengan apa yang saya ada hari ini.

“Kalah tetap kalah, tapi saya rasa okey kerana sekurang-kurangnya saya dapat habiskan perlawanan ini jauh lebih baik daripada langsung tidak dapat beraksi,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai penyertaan ke Terbuka Singapura dan Indonesia, Jun Hao memaklumkan dia akan menilai tahap kecergasaannya sebelum membuat keputusan seterusnya.

“Buat masa ini saya masih mengekalkan perancangan untuk beraksi dua kejohanan tersebut, tapi saya akan nilai semula dalam beberapa hari ini bergantung kepada keadaan badan saya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI