fbpx

Lelaki dikhuatiri lemas, trak pikap hanyut ketika redah sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trak pikap dipandu mangsa yang masih tenggelam di dalam Sungai Tendrik, Pos Bihai di Gua Musang pagi tadi. FOTO MEDIA SOSIAL

GUA MUSANG – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas trak pikap yang dipandunya hanyut ketika meredah arus deras Sungai Tendrik di Pos Bihai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa yang memandu kenderaan tersebut dengan membawa dua penumpang warga Pakistan dan Bangladesh sedang dalam perjalanan menuju ke Kampung Pahong, Pos Bihai di sini.

Seorang lagi pemandu trak pikap, Maszlan Mohamad, 53, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku terhadap tiga lelaki terbabit ketika berada di sebuah rumah kongsi di Kampung Pahong di sini kira-kira pukul 9 malam.

Katanya, dia sempat bertemu dua mangsa yang terselamat dan difahamkan seorang lagi lelaki sudah dihanyutkan arus sungai.

“Dua penumpang kenderaan itu memaklumkan, mereka tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.30 petang semasa hujan lebat dan paras air meningkat.

“Mereka semua terpaksa menunggu selama tiga jam di pinggir sungai terbabit. Pemandu kenderaan terbabit mengambil keputusan untuk meredah arus sungai kerana bimbang akan lewat tiba di rumah kongsi,” katanya.

Maszlan memberitahu, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hanyut sebelum tenggelam ketika mengharungi sungai.

Katanya, dua lelaki warga Pakistan dan Bangladesh sempat memecahkan tingkap trak pikap terbabit dan berenang untuk menyelamatkan diri.

“Pemandu kenderaan itu dikhuatiri dihanyutkan arus semasa ingin menyelamatkan diri kerana kerana terdapat kesan cermin pecah pada bahagian pemandu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI