REMBAU – Seorang remaja menggigil apabila melihat seekor harimau kumbang menerkam seekor anjing di Kampung Chembong Kecil, di sini semalam.
Sebelum ini, tiga ekor anjing telah dimakan harimau tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Dalam kejadian terbaharu itu, Muhammad Hakim Hakimi, 18, terdengar bunyi bising dari belakang rumahnya kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
Dia kemudian keluar dan ternampak seekor harimau kumbang sedang menerkam anjing.
Menurut bapa saudara remaja itu, Kamarudin Ibrahim, 36, anak saudaranya itu menjerit, menyebabkan harimau kumbang tersebut lari semula masuk ke dalam hutan.
“Anak buah saya masih trauma dan menggigil disebabkan ternampak kejadian ini di depan mata,” katanya ketika ditemui di Kampung Chembong Kecil, di sini, hari ini.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, kampung tersebut terletak di kawasan bukit berbatu serta berdekatan Hutan Simpan Gunung Datuk.
“Disyaki harimau kumbang mencari makan dan waktu tersebut terserempak dengan anjing. Satu unit perangkap harimau kumbang telah dipasang di lokasi aduan,” katanya. – KOSMO! ONLINE