LONDON – Penyerang Liverpool, Darwin Nunez dilaporkan telah mencapai kata sepakat untuk berhijrah ke kelab gergasi Sepanyol iaitu Atletico Madrid pada jendela perpindahan musim panas ini.
Pemain antarabangsa Uruguay itu, bergelut untuk mendapatkan minit permainan di bawah kendalian Arne Slot apabila hanya membuat lapan penampilan dalam kesebelasan utama untuk saingan Liga Perdana Inggeris.
Liverpool sebelum ini mendapatkan Nunez dari Benfica pada tahun 2022 dengan nilai keseluruhan sebanyak £85 juta (RM411 juta) dan kelab dari Merseyside itu kini berhasrat untuk mendapatkan semula sebahagian daripada pelaburan tersebut.
Nunez melalui musim yang cuku menyerlah pada musim 2023/24 dengan mencatat 18 gol dan 15 bantuan jaringan, namun prestasinya mula merosot musim ini dengan hanya menjaringkan tujuh dan tujuh bantuan gol setakat ini.
Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, memasang impian untuk menyaksikan gandingan mantap antara Nunez dan Julian Alvarez yang mampu memperkukuh jentera serangan Los Colchoneros dalam merebut kejuaraan saingan La Liga musim hadapan.
Rudingan mengenai terma peribadi sudah berjalan melibatkan ejen Nunez dan kini hanya perlu mencapai persetujuan mengenai yuran perpindahan yang akan dikenakan oleh Liverpool.
Atletico bukan satu-satunya pilihan buat Nunez, apabila Napoli turut menunjukkan minat dengan mengadakan rundingan, selain penyerang berusia 25 tahun itu turut diintai oleh beberapa kelab dari Liga Arab Saudi. – AGENSI