JOHOR BAHRU – Enam penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka terbakar dalam satu kejadian di premis kampus universiti awam tersebut, di sini hari ini.
Difahamkan, pemandu bas terdengar bunyi letupan di bahagian belakang, sebelum memberhentikan bas untuk membuat pemeriksaan.
Pemandu dapati tayar belakang sebelah kanan telah terbakar dan cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat api namun tidak berjaya.
Sementara itu, UTM dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian itu berlaku di perhentian bas, Jalan Lingkaran Ilmu berhampiran Fakulti Kejuruteraan Elektrik.
“Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan melibatkan penuntut mahupun staf. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tiba dengan pantas dan berjaya memadamkan kebakaran.
“Satu siasatan dalaman sedang dibuat bagi mengenal pasti punca serta langkah pencegahan dan penambahbaikan untuk mengelak insiden sama berulang,” menurut kenyataan itu..-KOSMO! ONLINE