GEORGE TOWN – Projek terowong dasar laut yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Projek Laluan Ketiga Pulau Pinang (3rd Link) masih relevan dan diyakini mampu memberi impak positif terhadap pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan berpotensi mengurangkan kesesakan lalu lintas teruk yang kerap berlaku di Jambatan Pertama Pulau Pinang serta laluan akses sekitarnya.
“Projek ini masih relevan dan akan memberi impak yang baik kepada rakyat dan pembangunan negeri apabila aliran trafik yang tinggi bagi kedua-dua arah di Jambatan Pertama dan sekitarnya dapat dihuraikan ke jajaran projek ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Menurut Zairil, reka bentuk baharu terowong itu turut mengambil kira aspek kecekapan, kebolehlaksanaan, keberkesanan serta impak kepada sosial dan alam sekitar,menjadikannya satu alternatif yang lebih mampan kepada kesinambungan projek Laluan Ketiga. -KOSMO! ONLINE