KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa satu dokumen penting iaitu Deklarasi Kuala Lumpur yang bakal dilancarkan secara rasmi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan datang.
Menurut beliau, pelancaran deklarasi tersebut menandakan satu lagi komitmen penting Malaysia dalam memacu agenda serantau melalui kerjasama erat dengan negara-negara anggota ASEAN.
“Insya-Allah, salah satu daripada dokumen penting yang akan diluncurkan secara rasminya sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini ialah Deklarasi Kuala Lumpur.
“Jadi setelah Deklarasi Kuala Lumpur secara rasminya diluncurkan pihak KLN (Kementerian Luar Negeri) dan Sekretariat akan memastikan rakyat serta media mendapat perincian kepada beberapa dokumen yang terkandung di dalam Deklarasi Kuala Lumpur ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Deklarasi ini dijangka akan merangkumi pelbagai aspek penting termasuk kerjasama digital, ekonomi dan keselamatan serantau, selari dengan matlamat untuk mengukuhkan integrasi serta pembangunan mampan dalam kalangan negara-negara ASEAN. – KOSMO! ONLINE