SYDNEY – Banjir kilat semakin buruk di timur Australia hari ini, dengan menenggelamkan rumah dan menyebabkan penduduk terkandas di atas bumbung semalaman, ketika pihak berkuasa meramalkan lebih banyak hujan turun dalam beberapa hari akan datang.
Ribut telah menyebabkan hujan dengan taburan melebihi empat bulan turun dalam masa dua hari di negeri New South Wales, menyebabkan rumah, perniagaan dan jalan raya tenggelam.
“Kami mempunyai masalah di mana hujan turun dengan agak lebat dan air tidak bergerak. Sebahagian daripadanya adalah kerana tanah tepu dan sungai melimpah,” kata Menteri Kecemasan Negeri, Jihad Dib kepada pemberita.
Taree yang terletak kira-kira 300 kilometer di utara Sydney, merupakan kawasan utama yang membimbangkan perkhidmatan kecemasan selepas hujan dengan taburan 415 milimeter melanda bandar itu sejak kelmarin. Ia lebih empat kali ganda purata hujan bulanan bagi Mei.
Air banjir yang semakin meningkat menyebabkan penduduk tempatan terkandas di atas bumbung semalaman, manakala penyelamat tidak dapat menyelamatkan mereka kerana cuaca buruk.
Penduduk Taree, Holly Pillotto yang merupakan antara mereka yang terkandas di tingkat atas rumah berkata, dia terdesak untuk mendapatkan bantuan kerana air banjir terus meningkat.
“Jiran kami di beranda belakang juga terkandas. Ia adalah tempat yang sangat berbahaya,” katanya kepada saluran berita Channel Nine Australia.
Lebih banyak hujan lebat dijangka turun dalam tempoh 48 jam, dengan beberapa lokasi diramal menerima 200 milimeter hujan sebelum keadaan mula reda, kata pihak berkuasa hari ini.
Ketua Perkhidmatan Kecemasan Negeri Superintendan Dallas Byrnes berkata, kira-kira 16,000 orang atau 7,400 kediaman akan kekal terputus hubungan sehingga sekurang-kurangnya esok. – AFP